PASTI PUTRA PERMAI (3P) TERUS CEMERLANG.... JUARA SAJAK PEREMPUAN ALAMRIA PASTI KEBANGSAAN 2013, NAIB JUARA KALAM JAMAIE ALAMRIA PASTI KEBANGSAAN 2013, JUARA SAJAK PEREMPUAN, JUARA KALAM JAMAIE ALAMRIA PASTI SELANGOR 2013, JUARA KESELURUHAN ALAMRIA PASTI PUCHONG 2013, NAIB JUARA BOLAJARING PESTA SUKAN NEGERI SELANGOR 2013, JUARA BOLAJARING, JUARA BOLASEPAK PESTA SUKAN PASTI NEGERI SELANGOR 2013!!!

Ahad, 26 September 2010

SAMBUTAN MAJLIS AIDIL FITRI ANAK-ANAK 3P

Pada pagi Jumaat, 24 September 2010, suasana meriah di 3P diwarnai oleh pelajar-pelajar yang berpakaian raya, lelaki berbaju melayu sementara perempuan berbaju kurung atau jubah  pelbagai warna dan gaya ditambah lagi dengan juadah kuih muih raya yang pelbagai.  Guru-guru 3P juga tidak mahu ketinggalan menggayakan baju raya masing-masing.

Awal pagi lagi pelajar-pelajar telah sampai dengan berbaju raya untuk Majlis Aidil Fitri Anak-anak 3P.  Hari sebelum itu kebanyakan mereka telah mewar-warkan baju apa yang dipakai mereka pada Jumaat itu. Seorang dua yang terlupa memakai baju raya pun, alhamdulillah, akhirnya dihantarkan oleh ibubapa mereka baju melayu masing-masing.

Di majlis tersebut juga pelajar-pelajar yang menyambut ulangtahun hari lahir pada bulan Ogos dan September turut diraikan. Kali ini sambutan bersama, almaklum, bulan Ogos jatuh pada bulan Ramadhan, bulan puasa - tiada sambutan ulangtahun harilahir.

Insyaallah, Majlis Rumah Terbuka 3P dan PAS Cawangan Putra Permai akan berlangsung pada hari Sabtu, 2 Oktober 2010.  Semua dijemput hadir.

Ikuti gambar-gambar yang sempat diambil pada majlis tersebut:
Selepas Amali Solat, semua jamaah saling bersalaman dan bermaafan
Puan Hasnah yang baru tiba dikerumuni warga kecil 3P

 
Warga riang 3P

Gambar-gambar 'Pakaian Sedondon 3P'
Azib (4thn) dan Sarah (3thn)
Hasbi (5thn) dan adik Haddad (4thn) berbaju melayu Johor hijau pucuk pisang
Faris (5thn) dan adik Fatih (3 thn) berbaju melayu Johor juga
Danial (6thn) dan adik Muhammad (5thn)




  
 Antara juadah kuih dan biskut raya yang dihidangkan

 Warga 3P menjamu selera
 
Cikgu Hanum bersama Siti yang menyambut ulangtahun harilahir kelima pada bulan Sept

Aug & Sept birthday boys dan girls..
Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar dan doa diketuai oleh adik Muhammad


Ahad, 5 September 2010

MAJLIS PENYAMPAIAN DUIT RAYA 3P

Hari Jumaat, 3 September 2010, merupakan hari terakhir persekolahan sebelum cuti dua minggu sempena cuti penggal persekolahan dan ditambah lagi dengan cuti Hari Raya.  Anak-anak 3P tak sabar nak bercuti.  Pada paginya selepas amali solat, mereka sama-sama membuat sampul duit raya dengan diselia oleh para guru 3P.

Tapi hari Jumaat kali ini agak istimewa sedikit, sebab mereka tidak boleh balik awal.  Ada majlis ringkas penyampaian duit raya juga 'kerja rumah'.  Raya-raya jugak, pelajaran jangan dilupa.  3 minggu lepas cuti raya adalah minggu peperiksaan akhir tahun.  Tak lama lagi tu..

Pengurus 3P, Puan Hasnah, mengambil kesempatan dalam majlis itu untuk menyampaikan pesanan mengenai adab-adab menyambut Hari Raya - memohon maaf dari kedua orang tua, ziarah-menziarahi sanak-saudara, hormat orang yang lebih tua, tidak membazir, tidak menghabiskan masa menonton TV dan sebagainya.

Beberapa gambar yang sempat diambil semasa majlis tersebut:
Puan Hasnah menyampaikan pesanan Hari Raya kepada warga cilik 3P
Ada yang mendengar, ada juga yang sempat bermain... benang pun boleh jadi mainan
Guru kanan 3P, Puan Hanum, menerima sedikit duit raya dari wakil pengurusan, Puan Hasnah
Janganlah terperanjat pula Cikgu As...

Bersama Cikgu Jam
Tenaga pengajar terbaru 3P, Cikgu Ita
Melentur buluh biar dari rebungnya.  Pelajar-pelajar digalakkan belajar berpuasa
di Ramadhan ini. Zarif, pelajar 6 tahun, menerima
duit raya istimewa dari Puan Hasnah
Aqil Danish yang pendiam ini pun puasa juga...
Faiz, hyper jugak, tapi tetap puasa
Kak Long Fasha letih saja. Almaklum.. puasa
Nursha, 5 tahun, pun puasa
Warga kerja 3P, apa lagi, posing sakan dengan duit raya masing-masing.. ehem

Akhir kalam, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja 3P mengucapkan Selamat Menyambut Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin, Selamat Bercuti dan Berhati-hati di Jalanraya kepada semua ibubapa, muslimin muslimat diluar sana.  Moga Ramadhan tahun ini telah menjadikan kita insan yang lebih baik semasa Hari Raya dan hari-hari yang mendatang, Amin.




Isnin, 23 Ogos 2010

MAJLIS BERBUKA PUASA 3P - 20 OGOS 2010

Lebih 150 orang membanjiri bangunan baru 3P sempena Majlis Berbuka Puasa 3P pada hari Jumaat 20 Ogos 2010.  Selepas Asar, beberapa orang AJK 3P bertungkus-lumus menyusun meja dan kerusi sebelum tetamu sampai.  2 khemah telah dipasang pada hari sebelumnya.

Seawal 6 petang, ibubapa dan anak-anak 3P telah mula sampai. Anak-anak 3P tak sabar nak melihat kawan-kawan membuat persembahan pada pukul 6.30 nanti.  Acara dimulakan pada pukul 6.35 petang dengan persembahan nasyid oleh pasukan nasyid 3P yang bakal menyertai Hari Bakat Pasti Kawasan Puchong dijadualkan pada 25 Sept 2010.  Seterusnya adik Nureen Nazifah menyampaikan pidato bertajuk Masa.  Sebelum Majlis Tahlil dan Doa Selamat dimulakan, adik Aisyah menunjukkan bakat dalam Hafazan.

Tepat pukul 7.00 petang Majlis Tahlil dan Doa Selamat diterajui oleh Ustaz Zamir diadakan.  Azan Maghrib dikumandangkan oleh adik Nurhakimi dan para tetamu berbuka puasa dengan buah kurma dan kuih-muih yang disediakan sebelum solat Maghrib berjamaah.  Seterusnya para tetamu menjamu selera dengan hidangan makan malam yang disediakan oleh Zakaria Catering, Sri Serdang.

Azan Isyak dikumandangkan oleh adik Baihagi.  Semasa solat Isyak, kanak-kanak dibawa ke bangunan lama 3P untuk program berasingan.  Tazkirah Ramadhan disampaikan oleh Ustaz Zamir sebelum solat terawih dan witir berjamaah.  Majlis tamat kira-kira pukul 10.30 malam.

Pihak pengurusan 3P mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran keluarga pelajar 3P dan tetamu lain dan sumbangan yang diberikan untuk menjayakan program Berbuka Puasa dan mengisi dana pembangunan PASTI Selangor. Jazakallahukhairan kasiran... Kami juga memohon maaf di atas segala kekurangan dalam penganjuran majlis tersebut.

Ikuti beberapa gambar yang sempat diambil semasa Majlis Buka Puasa 3P:
MC petang itu adalah En Mohd Fauzi yang juga AJK 3P
Anggota nasyid 3P bersiap sedia untuk berjalan keluar

Persembahan nasyid dari anak-anak 3P
Antara tetamu yang hadir menonton persembahan anak-anak 3P
Adik Nureen Nazifah berpidato
Adik Aisyah - Hafazan surah-surah lazim

Majlis Tahlil & Doa Selamat - antara tetamu yang hadir

Tak sabar menanti waktu berbuka..
Menikmati hidangan berbuka puasa
Alamak.. kuih dah habis??
Sementara menunggu waktu Isyak, kaum ibu mencuba wangian yang dipromosi
Baihaqi mengumandangkan azan Isyak
Semasa berkemas, tenaga pengajar 3P sempat posing lagi...

Sabtu, 21 Ogos 2010

PERTANDINGAN MEWARNA 3P

Pada pagi hari Khamis, 19 Ogos 2010, warga 3P menerima kunjungan dari wakil Luna Staedtler. 

Kedatangan mereka disambut gembira oleh anak-anak 3P.  Apa tidaknya, sesi mewarna lain dari kelas Matematik, B Melayu atau kelas-kelas formal lain.  Mereka boleh bermain warna, dengan menggunakan kreativiti masing-masing. 

Selepas diberikan taklimat penggunaan pensil warna/warna yang betul, anak-anak 3P terus ke sesi mewarna.  Bermacam cara mewarna yang dihasilkan - dari yang begitu asas oleh pelajar 3-4 tahun ke teknik yang lebih ke depan oleh pelajar-pelajar yang lebih tua.

Pertandingan mewarna pada pagi itu dimenangi oleh:

Hadiah Saguhati:
1) Danial Hakim                          6 tahun
2) Nursha Hana                           5 tahun
3) Hadhirah                                 6 tahun
4) Zulaikha                                  6 tahun
5) Farah Sofia                             6 tahun

Hadiah Utama:
1) Dayang Nur Nadhirah              6 tahun
2) Yasmeen Batrisyia                   5 tahun
3) Baihaqi Saghir                         6 tahun


Para pelajar khusyuk mendengar taklimat dari 'Abang'

Cikgu Jamnah, Lin dan Ita sempat posing lagi..
Pertandingan Mewarna bermula...


Nak posing jugak.. Cik As dan Lin bersama Hasif dan Zikry

Cikgu Hanum dan Ita mengawal keadaan di salah satu bilik
Sementara menanti keputusan pertandingan mewarna...

Pemenang tempat ketiga, Baihaqi, bersama Puan Hasnah
Yasmeen, pemenang tempat kedua, bersama Puan Hasnah
Puan Hasnah bersama Juara Pertandingan Mewarna, Nadhirah
Guru-guru posing bersama pemenang-pemenang pertandingan Mewarna Luna Staedtler

Akhir kalam, terima kasih Luna Staedtler.

Isnin, 16 Ogos 2010

JEMPUTAN KE MAJLIS BERBUKA PUASA PASTI PUTRA PERMAI

Rujukan kami : PPP/2010/8 (2)
Tarikh : 12 Ogos 2010









Yang dihormati Ibubapa/Penjaga Pelajar,

Tuan/Puan,

PER: JEMPUTAN KE MAJLIS BERBUKA PUASA PASTI PUTRA PERMAI

Dengan sukacitanya kami ingin menjemput tuan/puan sekeluarga ke MAJLIS BERBUKA PUASA PASTI PUTRA PERMAI pada:

Tarikh: Jumaat, 20 Ogos 2010 bersamaan 10 Ramadhan 1431H

Tempat: PASTI Putra Permai

Masa: 6.00 petang – 10.00 malam

ATURCARA PROGRAM (TENTATIF)

6.00 petang Ketibaan tetamu
6.30 petang Persembahan Anak-anak 3P
6.50 petang Tahlil dan Doa Selamat
7.25 petang Azan Maghrib (Pelajar 3P) dan Berbuka Puasa
7.45 malam Solat Maghrib berjamaah
8.00 malam Jamuan Makan Malam
8.35 malam Azan Isyak(Pelajar 3P) dan Solat Isyak Berjamaah
8.50 malam Tazkirah Ramadhan
9.05 malam Solat Terawih dan Witir Berjamaah
9.45 malam Moreh dan Bersurai

2. Sehubungan dengan itu, kami mengalu-alukan sumbangan ikhlas pihak tuan/puan untuk majlis berbuka puasa ini disamping mengisi dana untuk pembangunan PASTI Negeri Selangor yang sedang berusaha untuk memiliki bangunan sendiri.
3. Kehadiran tuan/puan mengimarahkan majlis ini amat dialu-alukan dan didahulukan dengan seribu penghargaan. Moga dengan kehadiran tuan/puan ke Majlis Berbuka Puasa, Tahlil dan Doa Selamat Pasti Putra Permai di PASTI Putra Permai dapat mengeratkan perhubungan silaturrahim antara kita serta mendapat keberkatan Allah s.w.t.

4. Sebarang pertanyaan mengenai perkara diatas, tuan/puan boleh hubungi guru kanan, Puan Hanum/pejabat di talian 03-8941 3357 atau saya sendiri di talian 016-346 9907/emel hyusop@gmail.com.

Sekian.Terima kasih.

“PASTI FOR ALL”


Yang benar,


HASNAH BINTI YUSOP
Pengurus, PASTI Putra Permai