PASTI PUTRA PERMAI (3P) TERUS CEMERLANG.... JUARA SAJAK PEREMPUAN ALAMRIA PASTI KEBANGSAAN 2013, NAIB JUARA KALAM JAMAIE ALAMRIA PASTI KEBANGSAAN 2013, JUARA SAJAK PEREMPUAN, JUARA KALAM JAMAIE ALAMRIA PASTI SELANGOR 2013, JUARA KESELURUHAN ALAMRIA PASTI PUCHONG 2013, NAIB JUARA BOLAJARING PESTA SUKAN NEGERI SELANGOR 2013, JUARA BOLAJARING, JUARA BOLASEPAK PESTA SUKAN PASTI NEGERI SELANGOR 2013!!!

Ahad, 16 Mei 2010

SEKITAR MAJLIS BACAAN YASIN, DOA SELAMAT & SOLAT HAJAT 3P

Pukul 6.30 petang, keadaan di 3P masih lengang dengan hanya En Hamdan dan Tuan Haji Latib menyusun meja di bawah khemah dan 2-3 orang pelajar transit yang masih belum diambil oleh ibubapa mereka.

Pukul 7.00 petang, beberapa orang pelajar dan ahli keluarga mula sampai. Menjelang maghrib, saf pertama di bahagian muslimin penuh, begitu juga di bahagian muslimat. Cikgu Hanum telah mula membawa kanak-kanak ke atas - sebab ada aktiviti mewarna lepas maghrib nanti.

Alhamdulillah, cuaca begitu baik sekali pada hari Jumaat 14 Mei 2010. Para jemputan mulai memenuhi premis 3P selepas solat maghrib. Maklumlah, ramai ibubapa yang baru balik kerja.

Imam pada malam itu adalah Pak Mat yang juga imam Surau AlMunawwarah & Surau Nurul Ikhlas (panggilan mesra pelajar2 3P adalah Tok Mat). Selepas solat Maghrib, Pak Mat mengetuai jemaah untuk bacaan yasin dan doa selamat sebelum memberi sedikit Tazkirah kepada para jemputan. Ianya diikuti dengan solat Isyak berjamaah dan solat hajat.

Sebelum jamuan makan malam, sedikit penghargaan diberikan kepada AJK-AJK 3P yang telah bersara atau berpindah ke tempat lain, Puan Hapipah dan Tuan Syed Abdul Rahman. Turut diberi penghargaan adalah Encik Nuzul Azam, Encik Hamdan, Cikgu Tarmizi, Puan Erlina, Puan Mariana dan Puan Mariam yang telah melatih pasukan bolasepak dan bolajaring pada hujung minggu sejak akhir bulan Februari lepas. Pasukan bolasepak 3P, alhamdulillah, telah berjaya menjadi wakil kawasan Puchong pada tahun ini.

Sempena Hari Guru 2010 ini,pihak pengurusan tidak lupa memberi penghargaan yang tak seberapa kepada guru-guru yang mendidik anak-anak 3P; Cikgu Hanum, Cikgu Hasnida, Cik Hazleen dan Cikgu Jamnah.

Syukur alhamdulillah, majlis berjalan dengan begitu lancar sekali. Hampir 100 orang jemputan (tidak termasuk anak-anak) memenuhi premis 3P pada malam itu, dapat saling berkenalan dan bertanya khabar disamping mendoakan moga anak-anak 3P dan yang lain akan menjalani peperiksaan dengan tenang dan jayanya pada minggu 17 Mei ini. Turut sama mengimarahkan majlis ini adalah anak-anak kelas Iqra' malam bersama keluarga masing-masing .

Insyaallah, kita akan adakan majlis-majlis seumpama ini pada masa akan datang untuk mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita.

Ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis pada Jumaat lepas. Jazaakallahukhairan kasiiran.

Beberapa gambar yang sempat diambil untuk tatapan semua:
SU 3P, En Hamdan, memberi sedikit taklimat sebelum majlis bacaan Yasin dan doa selamatAntara kaum ibu yang hadir sama dalam Majlis Bacaan Yasin
Pak Mat menyampaikan sedikit Tazkirah sebelum solat Isyak
Jemaah khusyuk mendengar pesanan dari Pak MatKanak-kanak riang...Solat Isyak dan Solat Hajat berjamaahEn Hamdan menyampaikan cenderahati dalam Majlis Penghargaan
Danial menerima cenderahati bagi pihak bapanya, Encik Nuzul, jurulatih bola 3P
Sesi perkenalan.. Member 'kamcing' Raqib dan Haziq Imran, memperkenalkan ibu masing-masing
Beratur untuk mengambil makanan

Menjamu selera..
Apakah nasihat yang diberikan oleh Pak Ya pada tuan bendahari 3P yang
bakal menamatkan zaman bujangnya akhir bulan ini?

Selasa, 11 Mei 2010

JEMPUTAN KE MAJLIS BACAAN YASIN, DOA SELAMAT, SOLAT HAJAT DAN PENGHARGAAN PASTI PUTRA PERMAI


Rujukan kami : PPP/2010/5 (3)

Tarikh : 10 Mei 2010

Yang dihormati Ibubapa/Penjaga Pelajar,


Tuan/Puan,

PER: JEMPUTAN KE MAJLIS BACAAN YASIN, DOA SELAMAT, SOLAT HAJAT DAN PENGHARGAAN PASTI PUTRA PERMAI

Dengan sukacitanya kami ingin menjemput tuan/puan sekeluarga ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat Dan Penghargaan Pasti Putra Permai pada:

Tarikh: Jumaat, 14 Mei 2010

Tempat: PASTI Putra Permai

Masa: 7.00 petang – 10.00 malam

PROGRAM TENTATIF

7.00 petang Ketibaan tetamu

7.20 malam Solat Maghrib berjamaah

7.40 malam Bacaan Yasin dan Doa Selamat

8.15 malam Tazkirah oleh Ustaz Zamir Omar

8.30 malam Solat Isyak berjamaah

8.40 malam Solat Hajat berjamaah

8.50 malam Majlis Penghargaan

9.10 malam Jamuan makan malam

10.00 malam Bersurai


2. Kehadiran tuan/puan mengimarahkan majlis ini amat dialu-alukan dan didahulukan dengan seribu penghargaan. Diharap tuan/puan dapat mengisi borang maklumbalas kehadiran di bawah serta mengembalikannya kepada pihak kami selewat-lewatnya Khamis, 13 Mei 2010.


3. Moga dengan kehadiran tuan/puan ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat Dan Penghargaan Pasti Putra Permai di PASTI Putra Permai dapat mengeratkan perhubungan silaturrahim antara kita serta mendapat keberkatan Allah s.w.t.


4. Sebarang pertanyaan mengenai perkara diatas, tuan/puan boleh hubungi guru kanan, Puan Hanum/pejabat di talian 03-8941 3357 atau saya sendiri di talian 016-346 9907/emel hyusop@gmail.com.


Sekian.Terima kasih.

“PASTI FOR ALL”

Yang benar,


HASNAH BINTI YUSOP

Pengurus, PASTI Putra Permai

Ahad, 9 Mei 2010

PASUKAN BOLA 3P BELAJAR SAMBIL BERMAIN DI PESTA SUKAN PASTI NEGERI SELANGOR;-)

Awal pagi lagi, seawal 6.20 pagi, pasukan rombongan bolasepak 3P telah mula berkumpul di 3P. Rombongan berbas diiringi dengan ibubapa yang berkereta akhirnya bertolak hampir 7.00 pagi (jadual awalnya adalah pukul 6.40 pagi).

Rombongan kami tiba di Dewan Sukan Klang, Taman Sri Andalas pada pukul 7.40 pagi. Pemain-pemain masih dengan mood ceria mereka. Di bawah khemah barulah mereka bersalin pakaian ke jersey bola yang ditaja oleh Nureen's. Ketua kontinjen Puchong, En Hamdan kemudian membawa pemain-pemain 3P untuk acara raptai perbarisan diiringi oleh Cikgu Hanum dan Cikgu Hasnida (As).

Pesta Sukan Pasti Negeri Selangor tahun ini dirasmikan oleh YB Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan Negeri Selangor. Tamat upacara perasmian, pasukan 3P bertemu dengan wakil PJ Utara yang berakhir dengan seri 0-0.

Jurulatih 3P, En Nuzul Azam, cuba menukar strategi serba sedikit untuk perlawanan seterusnya dengan wakil kawasan Serdang. Namun 3P tewas 4-0. 1 gol dijaringkan secara tidak sengaja oleh penjaga gol 3p, Hakimi...

Harapan 3P untuk masuk perlawanan kalah mati bergantung dengan perlawanan seterusnya dengan wakil Klang. Tetapi tidak kesampaian bila 3P tewas 2-0 dengan mereka.

Walaupun agak kecewa dengan keputusan perlawanan, kita akur bahawa banyak lagi yang perlu dipelajari oleh pasukan bolasepak 3P. Pasukan yang mula berlatih pada hujung minggu sahaja mulai pertengahan Februari lepas perlu akur dengan kepantasan pasukan dari kawasan lain. Pemain-pemain kita perlu lebih latihan yang lebih lasak dan lebih fokus dalam permainan mereka (ini adalah komen amatur sahaja;-) ).

Namun kita sedar mereka adalah kanak-kanak. Anak-anak 3P tetap ceria.. walau pun kalah. Kepada En Nuzul, En Hamdan dan Cikgu Tarmizi, yang begitu dedikasi melatih pasukan cilik 3P, jangan putus asa untuk melatih pasukan 3P supaya lebih hebat pada tahun hadapan. Harapan kami di 3P agar anak-anak yang telah diasah bakat mereka bermain bola seawal prasekolah ini dapat dimantapkan lagi di sekolah rendah nanti.

Kepada pasukan bolajaring Bestari yang mewakili Puchong, syabas... berentap dengan kuat sekali walaupun tewas di peringkat kedua, kalah mati.

Ikuti gambar-gambar yang diambil dari pagi tadi..
Align CenterKeletah pemain bolasepak 3P pada awal pagi dalam bas,
di belakang adalah konvoi kereta ibubapa yang ikut sama

Ketua cawangan PCPP, Encik Raffar, dan cucu, Ammar (ex 3Pian)
turut menyertai rombongan berbas 3P


Pemain bola 3P turun dari bas bersama ahli rombongan yang lain.
Antara ibubapa dan ahli keluarga yang mengikuti konvoi berkereta
Pasukan bola 3P beratur mengikut ketua kontinjen, En Hamdan, ke khemah
Beratur untuk perbarisan diiringi oleh Cikgu Hanum dan Cikgu As
sementara menunggu ketibaan YB Dr Halimah
Antara kontinjen lain yang menyertai perbarisan
Keluarga Fatih dan Faris. En Nuzul bertopi hijau,, sedang finalise strategi sebelum perlawanan
Kontinjen Puchong dan lain-lain mendengar ucapan YB Dr Halimah
Pasukan 3P di padang semasa bertemu pasukan dari kawasan PJ Utara
Danial tekun mendengar pesanan dari jurulatih..
Iman Haziq dan adik serta ibubapa
Perlawanan dengan Klang yang berakhir dengan 3P kalah 2-0
Dalam perjalanan balik ke 3P, ketua kontinjen En Hamdan, senyum dalam duka..
Pemain 3P tetap seperti biasa, ceria bermain di belakang...

Akhir kalam, kalah menang memang lumrah perlawanan. Usaha lebih gigih lagi di tahun hadapan. Chai yo 3P!

Jumaat, 7 Mei 2010

PASUKAN BOLASEPAK 3P KE PESTA SUKAN PASTI NEGERI SELANGOR

Ahad ini, 9 Mei 2010, merupakan hari yang begitu bermakna bagi Pasti Putra Permai, khususnya kepada pasukan bolasepak 3P. Insyaallah, rombongan 3P, mewakili PASTI Kawasan Puchong, akan ke Pesta Sukan Pasti Negeri Selangor yang berlangsung di Kompleks Sukan Klang, Taman Sri Andalas Klang,

Konvoi bas sekolah dan kereta dijadualkan akan bertolak dari 3P pada pukul 6.40 pagi, Ahad, 9 Mei 2010. Semua ahli rombongan MESTI berada di 3P pada pukul 6.30 pagi (45 minit selepas azan suboh). Pihak penganjur meminta semua kontinjen berada di padang pada pukul 7.30 pagi.

Kepada keluarga 3P dan para penyokong...JOM RAMAI-RAMAI KITA BERI SOKONGAN KEPADA PASUKAN 3P AHAD INI!!!

Nota: Peta ke PESTA Sukan PASTI Negeri Selangor di bawah.

TRIBUTE BUAT PARA IBU

Sempena Hari Ibu ini, kami di 3P mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada para ibu 3P, guru-guru dan semua ibu di luar sana. Hayatilah nasyid dari Haddad Alawi ini.




more about "Ummi (Mom) ~ Hadad Alwi & Sulis", posted with vodpod

Ahad, 2 Mei 2010

Persiapan Pasukan Bolasepak 3P ke Pesta Sukan Negeri Selangor

Disamping bersiap sedia untuk peperiksaan pertengahan tahun PASTI, pemain-pemain bolasepak 3P turut sibuk membuat persiapan untuk ke Pesta Sukan Negeri Selangor pada Ahad ini, 9hb Mei 2010 di Kompleks Sukan Klang, Taman Sri Andalas, Kelang.

Pasukan bolasepak 3P hanya berihat pada hujung minggu pertama selepas menjuarai bolasepak Pesta Sukan Puchong.

Pada Ahad lepas, seperti pada hujung minggu sebelumnya, anak-anak lelaki 3P bersama ibubapa atau abang, kakak, adik masing-masing membanjiri Gelanggang Futsal di depan JUSCO Taman Equine untuk menjalani latihan intensif sebelum perlawanan pada hujung minggu ini.

Beberapa gambar yang sempat diambil semasa latihan bolasepak untuk tatapan semua:
Kita kena akur, mereka masih kanak-kanak, berebut bola sesama sendiri..

Menerima arahan dari jurulatih pasukan, En Nuzul, tentang strategi tendangan bola ke gol lawan...

Antara ahli keluarga yang datang memberi sokongan kepada anak-anak 3P berlatih
(Haddad tak ketinggalan..)

Dah habis berlatih, ahli keluarga berkerumun masuk gelanggang....untuk sesi bergambar bersama anak-anak, ibu/bapa, keluarga, AJK dan
guru-guru yang begitu teruja dengan semangat jitu anak-anak 3P

Kepada semua ibu bapa, anak-anak 3P serta para penyokong datanglah pada hari Ahad ini memberi sokongan kepada pemain-pemain 3P berentap di padang Kompleks Sukan Kelang, Taman Sri Andalas, Kelang. 3P BOLEH, Insyaallah!!