Rombongan 3P bergambar bersama Abang 'Nano' |
Sekali lagi dalam jangka masa 7 hari, warga 3P menaiki bas beramai-ramai untuk membuat lawatan sambil belajar. Jika pada 25hb Oktober, kami ke Balai Bomba & Penyelamat Serdang, kali ini gerombolan kami ke Pusat Sains Negara di Bukit Kiara.
Awal pagi Rabu, 2 November 2011, belum pun pukul 8.00 pagi, seramai lebih 125 orang ahli rombongan telah memenuhi premis lama 3P untuk bersiap sedia menaiki 2 bas rombongan yang disewa khas oleh pihak sekolah. Ahli rombongan terdiri dari lebih 100 orang warga cilik 3P, beberapa orang kakak dan abang pelajar (bekas pelajar 3P), guru-guru, 3 orang ibu yang turut membantu serta 2 wakil pengurusan 3P.
Oleh kerana ahli rombongan yang ramai, ditambah lagi dengan anak-anak ini yang masih kecil dan lincah, ianya memerlukan perancangan yang teliti bagi mempastikan program ini berjalan dengan lancar. Pada hari sebelumnya, anak-anak ini telah dibahagikan kepada 11 kumpulan kecil yang dijagai oleh 'ibu/guru' yang berasingan.
Rombongan kami akhirnya bertolak pada pukul 8.10 pagi, walaupun pada awalnya dijadualkan pada 7.45pagi. Waktu perjalanan yang lebih lama, ada dikalangan anak-anak ini yang mengeluh bilalah nak sampai ke Pusat Sains. Didalam bas, ahli rombongan disajikan dengan sarapan ringan, roti bersalut hotdog dan air coklat. Dengan keadaan jalan yang agak sibuk pada pagi itu, rombongan kami selamat sampai ke destinasi yang dituju pada 9.30 pagi.
Program yang diatur oleh pihak Pusat Sains untuk rombongan kami bermula pada pukul 10.00. Kumpulan pertama seramai 40 orang pelajar 5 & 6 tahun mengikuti Program Saintis Tunas, sementara kumpulan kedua melawat galeri di aras 1 & 2 (walaupun mereka lebih bertumpu dengan taman permainan kanak-kanak), mencuba 'gadget' yang dipamerkan. Kumpulan ketiga yang terdiri dari pelajar 3, 4 dan 'seniors' dibawa melawat ke Pameran 'Age of the Giants' oleh Saudara Setiausaha 3P, En Hamdan, dan 3 orang 'ibu' mereka.
Pada pukul 10.45 pagi, kumpulan kedua pula mengikuti Program Saintis Tunas. Sementara menunggu 'Science Show' pada 2.00 tengahari, anak-anak ini leka bermain di playground dan mencuba gadgets di ruang pameran. Menjelang 11.45 pagi, ruang tempat duduk di hadapan pentas 'Science Show' telah dipenuhi oleh ahli-ahli rombongan kami. Sambutan hangat diberikan oleh anak-anak ini bila Abang 'Nano' muncul di pentas untuk memulakan demo. Mereka begitu responsif dengan arahan-arahan yang diberikan. Begitu ramai yang menawarkan diri untuk naik ke pentas melakukan demo bersama Abang 'Nano'.
Akan bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan