PASTI PUTRA PERMAI (3P) TERUS CEMERLANG.... JUARA SAJAK PEREMPUAN ALAMRIA PASTI KEBANGSAAN 2013, NAIB JUARA KALAM JAMAIE ALAMRIA PASTI KEBANGSAAN 2013, JUARA SAJAK PEREMPUAN, JUARA KALAM JAMAIE ALAMRIA PASTI SELANGOR 2013, JUARA KESELURUHAN ALAMRIA PASTI PUCHONG 2013, NAIB JUARA BOLAJARING PESTA SUKAN NEGERI SELANGOR 2013, JUARA BOLAJARING, JUARA BOLASEPAK PESTA SUKAN PASTI NEGERI SELANGOR 2013!!!

Jumaat, 12 Februari 2010

Cetusan

Pusat Asuhan Islam kini
membuahkan hasilnya


Oleh ABU IZZAH

TERINGAT semasa saya kecil di pertengahan tahun 70-an. Ibu bapa begitu ghairah menghantar anak-anak mereka ke Kindergarten yang kebanyakannya dikendalikan oleh pihak gereja.

Mungkin hasil pengajaran yang sistematik, anak-anak keluaran Kindergarten mahir membaca sebelum masuk alam persekolahan. Apatah lagi, pandai menyanyi lagu Inggeris kanak-kanak seperti Twinkle-Twinkle Little Star, Are You Sleeping Brother John, London Bridge Is Falling Down dan sebagainya. Ibu bapa terpukau dengan kehebatan guru-guru gereja mengajar. Tanpa disedari anak-anak mereka diterap dengan ajaran Kristian.

"Persetankan dengan anak-anak berdoa cara Kristian, menyanyi lagu gereja dan sebagainya. Yang penting anak-anak saya cepat membaca dan pandai berbahasa Inggeris. Bila besar mereka boleh berfikir sendiri dan tetap mengamalkan Islam".

Begitulah alasan yang diberikan oleh ibu bapa. Maka, berduyun-duyunlah umat Islam menghantar anak-anak mereka ke Kindergarten yang bersebelahan dengan gereja.

Apabila saya naik ke sekolah menengah pada akhir tahun 70-an, guru agama saya membuat servey ke atas hampir keseluruhan pelajar Islam. Ia amat mengejutkan, keputusannya; 80% tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah. 95% tidak mengerjakan solat. Malah, beberapa kerat sahaja pelajar yang tahu baca Quran, itu pun merangkak.

Pada awal 80-an negara digegarkan dengan kebangkitan Islam. Pelbagai pertubuhan Islam muncul mengajak umat Islam agar kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Di antaranya ABIM, PAS, Al-Arqam (kini diharamkan) dan Tabligh. Kebanyakan jemaah Islam tersebut sudah muncul, cuma aktif selepas tahun 80-an.

Atas kesedaran kepentingan mentarbiyyah umat Islam sejak dari kanak-kanak lagi, demi melahirkan generasi al-Quran, maka pertubuhan Islam tersebut menubuhkan Taman Didikan Islam sebagai alternatif kepada Kindergarten.

ABIM menubuhkan TASKI, PAS menubuhkan PASTI dan Al-Arqam menubuhkan Tadika Islam Al-Arqam.

Kini, selepas suku abad Tadika Islam muncul memberi tarbiyyah kepada anak-anak umat Islam, hasilnya ia menjadi check and balance kepada suasana masayarakat yang rosak (mat rempit, bohsia, buang anak, murtad dll.). Sekurang-kurangnya ramai yang berminat untuk ke sekolah Tahfiz, ke sekolah agama dan anak-anak muda yang menyertai Gerakan Islam. Anak-anak umat Islam sudah pandai membaca doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w, baca asmaul husna, sudah pandai bersolat dan sebagainya. Malah, ada yang lebih pandai dari ibu bapanya dalam hal ehwal Islam.

Di peringkat ibu bapa, mereka mewajibkan anak-anak mereka untuk mengikuti sekolah agama petang atau pagi selepas mengikuti pembelajaran di sekolah. Dua peristiwa yang ingin saya kongsikan di bawah sebagai bukti hasil didikan Tadika Islam (termasuk PASTI yang semakin berkembang dan dapat sambutan).

Tujuan cetusan ini ditulis ialah agar ibu bapa, guru-guru dan AJK PASTI dapat berfikir, sumbangan mereka terhadap anak-anak umat Islam di negara ini terlalu besar. Sedar atau tidak sedar mereka telah menyumbangkan sesuatu yang amat berharga terhadap generasi yang akan datang. Lebih berharga dari gunungan emas dan lebih berharga dari lautan intan.

i

Untuk melihat suasana landskap perubahan, saya mengambil tempat yang kecil sebagai contoh iaitu pejabat (di tempat saya bekerja sejak 15 tahun yang lalu). Ia amat berbeza semasa saya mula-mula bekerja.

Kumpulan yang sama-sama masuk bekerja dengan saya 15 tahun dahulu, dari 50 orang, hanya lebih kurang 8 orang sahaja yang bersolat.

Baru-baru ini tahun 2010, majikan telah menambah lebih 50 orang staf baru untuk keperluan syarikat. Saya amat terkejut 90% staf baru yang berumur 21-25 tahun ini memenuhi surau untuk solat berjemaah setiap waktu dalam masa bekerja. Ada di antara mereka boleh menjadi imam dengan bacaan yang baik. Sedangkan, mereka dari golongan profesional bukannya sekolah agama.

ii

Isteri saya menjaga beberapa orang anak rakan-rakan dan jiran. Rumah umpama nurseri dan tempat transit. Maka, terdapat juga anak-anak tadika yang berbeza menjadikan rumah saya sebagai transit.

Dua kanak-kanak tadika terlalu rapat walaupun ia dari tadika yang berbeza. Seorang dari PASTI dan seorang lagi dari Tadika Dot Dot (yang eksklusif dan mahal bayaran bulanannya).

Saya terkejut, dengan spontan anak-anak dari PASTI menegur kawannya dari Tadika Dot Dot.

"Kakak... mana boleh minum berdiri. Orang Islam tak boleh minum berdiri... kakak duduklah..." Maka, duduklah kawannya dari Tadika Dot Dot patuh kepada arahan rakannya dari PASTI.

Peristiwa ini mungkin nampak kecil, tetapi kesannya cukup besar. Inilah bukti hasil pentarbiyyahan akhlak. Kalau perkara kecil (minum berdiri) pun tak boleh nak kita ajar, apatah lagi perkara yang besar seperti menghormati ibu bapa, menutup aurat dsb.

Mungkin perkara spontan ini juga berlaku kepada orang lain, mungkin skrip yang berbeza. Tak mustahillah kisah bagaimana anak-anak PASTI dan Tadika Islam lebih pandai Rukun Iman dari ibu-bapa mereka sendiri. Hatta, doa masuk tandas pun anak-anak PASTI lebih pandai dari ibu-bapa mereka.

Dan untuk pengetahuan semua, isteri saya pernah menegur anak Tadika Dot Dot ni kerana menyebut,"Oh My God". Walaupun kisah Kindergarten yang menyediakan khidmat Tadika di sebelah gereja sudah tiada sambutan oleh umat Islam. Tetapi, silibusnya tetap diterapkan di dalam tadika-tadika yang menawarkan pembelajaran yang eksklusif, yang berjaya menggoda umat Islam untuk menghantar anak-anak mereka di sana.

Mereka menyelit pengajaran Islam dalam beberapa jam. Tetapi menambahkan lagi dengan pengajaran tarian dan unsur-unsur yang menjauhkan anak-anak ini dari agama Islam.

Semoga dengan cetusan dan tulisan saya menggunakan gelanggang blog PASTI ini menjadi iktibar kepada sesiapa yang membaca dan menjadi pencetus semangat untuk memperkukuhkan PASTI dan mendidik anak-anak kita dengan tarbiyyah Islamiyyah.

- Wallahua'lam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan